Komputer boleh direkabentuk supaya dapat membantu pelajar secara individu dan secara berkumpulan. Ini dapat dijalankan dengan menggunakan Arahan Program, pelajar akan diajar mengikut kadar dan tahap yang boleh diterima oleh mereka. Ini adalah penting supaya pelajar tidak tercicir dan putus asa. Merujuk kepada sistem pendidikan konvensional, kesemua pelajar terpaksa mengikuti sistem yang berlangsung tanpa mengambil kira samada mereka dapat mengikuti pelajaran tersebut. Justeru itu, arahan program dapat memberi peluang terutamanya kepada golongan pelajar "lemah" untuk membaiki kelemahannya.
Dalam arahan program ini, pelajar akan mengikuti langkah-langkah tertentu dalam pembelajarannya, langkah tersebut akan diteruskan asalkan pelajar dapat memberi jawapan yang sesuai dan boleh diterima. Namun sekiranya jawapan tersebut tidak memuaskan, dia akan dipandu kepada langkah terdahulu dan ditunjukkan bahan rujukan yang berkaitan bagi memperbaiki kelemahan tersebut. Pengajaran sedemikian biasanya tidak dijalankan di dalam kelas yang terdiri daripada ramai pelajar, tambahan pula pelajar Asia yang kurang bertanya akan memburukkan lagi proses pembelajaran pelajar.
Selain itu, pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Tren semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.
Justeru itu, sistem pendidikan perlu membekalkan kemahiran interaksi asas pada awal persekolahan dan menggunakan teknologi maklumat pada masa yang sama. Dengan itu, pelajar mempunyai kemahiran lebihan dan pilihan untuk menggunakan teknologi maklumat atau cara konvensional sesuai dengan keadaan tertentu.
Reformasi Sistem Persekolahan
Cara pengajaran konvensional di Amerika Syarikat misalnya memberi kuliah didapati tidak mendatangkan keputusan yang baik. Ini adalah kerana pelajar hanya duduk dan mendengar kuliah tersebut tanpa penyertaan yang menggalakkan. Ini merupakan senario yang kerap di dalam USM sendiri terutamanya dalam kuliah sarjana muda. Walaupun terdapatnya usaha pensyarah untuk menggalakkan penyertaan pelajar namun penyertaan yang diharapkan adalah amat kurang.
Namun dengan wujudnya rangkaian maklumat yang membolehkan pelajar memberi pandangan dan maklum balas secara rawak dan dengan cepat maka penyertaan tersebut akan mempunyai kadar yang lebih tinggi. Alasan seperti tidak dapat berjumpa dengan pensyarah akan dihapuskan sama sekali memandangkan faktor masa dalam rangkaian maklumat tidak sama dengan masa sebenar. Menurut teori pergerakan ruang, ruang aliran akan menentukan masyarakat rangkaian maklumat. Segala maklumat yang disalurkan merupakan penyebab yang secara kumulatif menjanakan ruang tersebut. Aktiviti menghantar dan menerima maklumat tersebut merupakan tindakan sosial yang dibawa dalam ruang aliran. Asalkan seseorang peka terhadap rangkaian tersebut, segala maklumat dan maklum balas akan dapat disampaikan mahupun diterima.
No comments:
Post a Comment