Tuesday 20 September 2011

Model 2 : Model Integrasi


Terdapat dua buah sekolah yang tergolong dalam kategori ini, menggunakan ICT bagi membantu menyelesaikan masalah dalam pengurusan. Perbezaan dengan model penggunaan teknologi, pemimpin-pemimpin sekolah ini bukan hanya menggunakan inovasi teknologi tetapi selangkah kehadapan bagi mengintegrasi ICT dalam penyelesaian masalah. Ini selaras dengan model perekayasaan Laudon dan Laudon (1998) yang merujuk kepada mencipta semula proses-proses perniagaan dengan tujuan utama untuk mengurangkan kos dan masa secara signifikan. Seorang pemimpin sekolah ini menyatakan "Saya menggunakan kemajuan teknologi bagi menyelesaikan urusan pembelian makanan di kantin dengan menggunakan sistem kad pintar". Kad pintar yang digunakan juga merupakan satu dokumen maklumat yang mengandungi maklumat murid, sistem merit dan demerit disiplin, maklumat pencapaian akademik dan perpustakaan. Pemimpin sekolah ini juga menjelaskan, "Saya dapati dengan menggunakan sistem kad pintar ini pengurusan sekolah lebih mudah, produktiviti meningkat kerana banyak masa dapat dikurangkan". Seorang pemimpin sekolah yang lain menyatakan bagi memudahkan pengurusan fail dan perkongsian maklumat sesama guru maka konsep file sharing diperkenalkan. Setiap panitia menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran serta maklumat murid-murid dan di masukkan dalam file sharing supaya mudah diakses oleh guru-guru lain. Kedua-dua sekolah ini merancang untuk memantapkan prasarana bagi memudahkan kemudahan akses kepada semua murid. Kedua-dua buah sekolah ini menggunakan peluang komuniti setempat dan PIBG bagi mendapatkan sumbangan untuk memantapkan prasarana ICT di sekolah. Pengajaran dan pembelajaran bagi model sekolah ini dijalankan secara didaktik namun begitu terdapat perkongsian maklumat yang lebih antara guru, murid dan penyelaras ICT. Murid-murid juga membantu guru dalam penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment