Saturday 24 September 2011

MEMBANTU PELAJAR MENGGUNAKAN STRATEGI MEMAHAMI TEKS



Sesuatu proses kefahaman teks bacaan yang berkesan berfokus pada cara-cara dan penaakulan yang digunakan untuk mengeluarkan maklumat, dan bukannya pandangan pembaca terhadap isi kandungan teks. Tujuan perlakuan kefahaman ialah untuk membolehkan pembaca sedar tentang cara membaca dan penaakulan yang digunakan itu di bawah kawalannya sendiri. Kita mahu pelajar tahu bagaimana untuk menggunakan pengetahuan latar dan membuat telahan dan inferens semasa mereka membaca. Kita juga mahu pembaca boleh dan tahu memantau pembacaan mereka dan menggunakan strategi yang dapat memecah halangan terhadap pembinaan makna semasa mereka membaca. Kita juga mahu pembaca menyusun dan menilai hasil daripada apa yang telah mereka baca.

Peranan guru dalam pengajaran strategi ialah untuk mewujudkan satu suasana pengajaran yang menegaskan bahawa dalam pembacaan teks yang bersambungan penggunaan strategi membaca yang tepat adalah langkah yang penting. Guru dapat mengukuhkan proses kefahaman membaca seseorang pelajar itu dengan menunjukkan kepada mereka bagaimana strategi yang sama juga digunakan oleh penulis semasa mereka menulis teks. Pengajaran dalam proses kefahaman membaca bermula dengan kefahaman mendengar pada peringkat permulaan literasi dan meningkat sedikit demi sedikit kepada proses yang lebih kompleks dan jenis bahan bacaan yang lebih tinggi.

Dipetik daripada : http://fasisbh1.zoom-a.com/isumasalahmembaca.html

No comments:

Post a Comment