Tuesday 20 September 2011

IMPLEMENTASI ICT DALAM ORGANISASI


Implementasi ICT dalam setiap organisasi pada masa kini merupakan satu fenomena biasa. Kajian-kajian mengenai implementasi teknologi bermula sekitar tahun 1950 an. Revolusi teknologi telah berjaya melakukan perubahan pendekatan terhadap pengurusan teknologi korporat. Laudon dan Laudon (1998) menyatakan terdapat empat jenis perubahan organisasi yang dihasilkan oleh ICT iaitu automasi, rasional, perekayasaan dan perubahan paradigma. Automasi merujuk kepada aplikasi ICT untuk membantu pekerja melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan meningkatkan prestasi kerja. Rasional berrmaksud memudahkan prosedur operasi bagi mengelakkan bottleneck supaya proses automasi akan menjadikan prosedur lebih berkesan. Kedua-dua model ini merupakan pendekatan kejuruteraan iaitu memberikan penekanan kepada proses membangun, merancang, membina dan mengawal. 

                Sementara perekayasaan pula merujuk kepada mereka semula proses-proses perniagaan dengan tujuan utama untuk mengurangkan kos dan masa secara signifikan. Perubahan paradigma merupakan proses perekayasaan yang lebih radikal melibatkan mengkonsepsi semula proses perniagaan dan ciri organisasi. Menurut Davies (1996), pendekatan perekayasaan merupakan satu kaedah yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin sekolah bagi menghadapi cabaran abad ke 21. Dua faktor utama yang mempengaruhi implementasi perubahan yang merupakan fokus dalam tinjauan literatur adalah ciri-ciri organisasi yang mampu mengadaptasi kepada perubahan dan model yang diamalkan dalam proses pengurusan perubahan. Telem (1996) menjelaskan kerangka implementasi sistem pengurusan maklumat di sekolah mengandungi lima komponen iaitu teknikal, struktur, psikososial, matlamat dan nilai serta pengurusan. Kerangka ini jelas menunjukkan perubahan melibatkan implementasi ICT di sekolah merupakan satu proses yang kompleks dan memerlukan perhatian yang serius dan kerjasama semua pihak. Banyak kajian dijalankan bagi mengenalpasti proses implementasi ICT di sekolah. 

           Antaranya Fullan (1993) menyediakan kerangka yang mengambilkira kompleksiti proses perubahan di sekolah. Beliau mendapati perkongsian visi merupakan perkara utama dalam proses implementasi ICT di sekolah. Dalam kajian kes implementasi ICT di sekolah-sekolah di Ontario, Fullan (1992) mendapati tiga dimensi perubahan dalam pengunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu:
1.                Penggunaan perkakasan dan bahan perisian.
2.                Pengamalan aktiviti-aktiviti     
3.           Penggunaan kaedah baru
4.                 Perubahan dalam pemahaman dan nilai.
Kajian kes oleh Mooij dan Smeets (2001) di sepuluh sekolah menengah di Netherlands mendapati lima fasa dalam tranformasi dan mengimplementasi ICT di sekolah iaitu:
1.    Penggunaan ICT oleh guru dalam bentuk individu atau kumpulan.
2.    Peningkatan kesedaran pengunaan ICT pada semua peringkat.
3.     Penekanan terhadap kordinasi ICT dan perkakasan di sekolah.
4.     Penekanan terhadap inovasi secara berperingkat dan sokongan ICT.

5.   Penggunaan ICT secara integrasi dengan pengajaran dan pembelajaran tanpa
      mengira masa dan tempat.
     Mooij dan Smeets (2001), mencadangkan beberapa kaedah seperti pengurusan sekolah, kepimpinan dan juga dasar untuk menyokong pembangunan ICT dan bagaimana sekolah boleh mempelajari implementasi ICT dengan sekolah-sekolah lain. Kearsley dan Lynch (1992), berpendapat kebolehan untuk membina visi serta membawa perubahan melalui implementasi ICT adalah elemen yang kritikal yang perlu ada pada kepimpinan sekolah. Pemimpin harus mempunyai kompetensi dalam mengimplementasi dan mengintegrasi ICT bagi meningkatkan keberkesanan sebagai pemimpin teknologi di sekolah. Thomas dan Knezek (1991), merumuskan hasil dapatan kajian 240 pemimpin sekolah yang berjaya dalam mengintegrasi ICT dan penstrukturan sekolah. Mereka membahagikan kelompok ciri penstrukturan sekolah kepada lima kategori iaitu perubahan dalam pembelajaran, peranan guru, kurikulum, kepimpinan organisasi dan kewangan. Perubahan perlu dilakukan dalam semua bidang tersebut bagi merealisasikan penstrukturan di sekolah. Flanagan dan Jacobson (2003), menyatakan pengalaman-pengalaman kejayaan dalam implementasi ICT dapat memberikan panduan kepada pemimpin-pemimpin sekolah yang ingin mengimplementasi ICT di sekolah. Amalan-amalan yang membawa kepada kejayaan sekolah mengintegrasi ICT ialah penglibatan murid, perkongsian visi, kesamarataan akses, perkembangan profesional dan sistem rangkaian yang menyeluruh. Pemimpin sekolah boleh menjadikan amalan-amalan ini sebagai peranan tanggungjawab dalam mewujudkan kepimpinan teknologi. Peranan tanggungjawab pemimpin seperti pemimpin pembelajaran, pemimpin student entitlement, pemimpin pembina kapasiti, pemimpin komuniti dan pemimpin pengurus sumber. Yee (1998), menyarankan lima jenis kepimpinan teknologi melalui kajian pengetua sekolah­ - sekolah di New Zealand iaitu technology entrepreneur, technology caretaker, technology trainer, technology modeler dan technology learner.
Perkara-perkara yang penting seperti cabaran dan peluang organisasi, tanggungjawab serta strategi kepimpinan perlu diberi pertimbangan sebelum mengimplementasi ICT di sekolah. Kajian di lapan buah sekolah rendah di Malaysia mendapati faktor-faktor yang menyokong pelaksanaan dasar ICT adalah kesedaran terhadap kepentingan ICT, kerjasama antara warga sekolah, peralatan yang lengkap, kursus dan pendedahan ICT kepada guru, dan insentif untuk guru (Zaini, 2006). Pemimpin sekolah bertindak sebagai pemimpin perubahan, penyokong kepada perkembangan staf dan pemimpin harus menjadi model pengguna ICT. Kepentingan pengaruh kepimpinan sekolah telah banyak dibincangkan dalam dapatan-dapatan kajian yang lalu. Yukl (2002), telah menyatakan pengaruh dan kuasa merupakan perkara teras dalam kepimpinan. Hargreaves dan Fink (2003) pula menjelaskan tujuh prinsip kepimpinan lestari bagi mengekalkan kesinambungan kejayaan organisasi iaitu pemimpin lestari membentuk serta mengekalkan kesinambungan pembelajaran, mengekalkan kejayaan sepanjang masa, mengekalkan kepimpinan warga organisasi, mengutarakan isu keadilan sosial, membangunkan sumber manusia, membina kapasiti dan menyokong serta membantu komuniti mencapai matlamat. Kejayaan dalam mengimplementasi ICT dan perubahan bukan semata-mata terletak kepada perkakasan dan perisian teknologi tetapi pengaruh dan penurunan kuasa pemimpin sekolah kepada guru serta menyokong guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan mengekalkan kesinambungan kejayaan melalui kepimpinan lestari.

No comments:

Post a Comment