PEMBACA HARI INI
Sikap dan kesedaran keperluan membaca dalam kalangan ramai pelajar kita pada semua peringkat pengajian adalah terlalu rendah, mudah dan cetek. Pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi, sungguhpun mereka telah berada di menara gading, hanya yang asas sahaja. Kebolehan membaca rata-rata terhad kepada bahan bukan ilmiah dan berbentuk naratif. Penguasaan dan kelancaran bahasa mereka tidak mendalam kerana ramai yang masih lagi tidak berupaya untuk berfungsi dalam bahasa akademik, bahasa sains dan bahasa teknologi. Kelemahan ini bertambah apabila pembaca mempunyai pengetahuan am yang terlalu sempit dan ini menyebabkan mereka tidak berupaya untuk berinteraksi dengan penulis. Semua ini disebabkan pelajar terlalu bergantung pada nota-nota guru dan buku ulangkaji dan mereka enggan membaca buku-buku ilmiah yang boleh didapati dalam jumlah yang besar di perpustakaan di seluruh negara.
Tanggungjawab guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran sememangnya berat kerana guru bukan sahaja bertanggungjawab memberi pengalaman kepada pelajar dalam bidang mata pelajaran yang diajar tetapi ia juga bertujuan membentuk pelajar menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Kalau itu tidak mencukupi banyak lagi tugas dan tanggungjawab guru yang ditanggungnya di luar proses pengajaran. Tugas guru bukannya mudah kerana ada banyak perkara lain yang dianggap seseorang guru harus boleh lakukan sungguhpun guru itu tidak mendapat latihan khusus dalam bidang itu.
Tanggungjawab dalam bidang pengajaran dan pembelajaran membaca bukannya terhad pada seseorang guru sahaja. Untuk setiap mata pelajaran disediakan buku teks. Ini bererti setiap guru mata pelajaran juga harus menjadi seorang guru bacaan. Kalau ditanya kepada guru, ramai akan mengatakan bahawa buku teks digunakan sebagai rujukan atau untuk memberi latihan kepada pelajar. Persoalannya ialah bilakah pelajar betul-betul berpeluang untuk diberi kemahiran membaca dalam erti kata membaca dengan penuh perhatian. Begitulah juga keadaannya di dalam kelas bahasa, membaca tidak begitu penting, yang penting ialah menjawab soalan kefahaman.
Lalu kita akan bertanya - tanggungjawab siapakah untuk mengajar membaca. Latihan yang diterima oleh guru dalam bidang membaca terlalu minima dan ada guru yang tidak pernah menerima sebarang pendedahan tentang pengajaran membaca dan ilmu membaca terutamanya guru mata pelajaran. Kefahaman tentang ilmu membaca terlalu penting untuk diabaikan dalam proses pendidikan guru. Sekurang-kurangnya apabila seorang guru itu tamat pengajiannya dia telah pun menerima pendedahan dalam bidang ilmu membaca dan pengajaran membaca. Dengan ilmu yang ada mereka berupaya memberi penjelasan dan penerangan yang betul kepada soalan-soalan seperti ini:
a. Apakah definisi membaca?
b. Apakah faktor yang mempengaruhi membaca?
c. Bagaimana proses membaca itu berlaku?
d. Apakah erti kefahaman dalam pembacaan dan perbezaannya dengan proses membaca?
e. Apakah kemahiran dan strategi yang perlu diajar bagi pelajar yang mempunyai latar belakang, kebolehan, pengetahuan, dan matlamat membaca yang berbeza?
Di mana dan bila harus dimulakan pengajaran membaca? Perlukah pengajaran membaca itu diasingkan daripada pengajaran bahasa? Bagaimanakah dapat dibezakan pengajaran membaca dengan pembacaan bahan ilmiah? Ini adalah antara persoalan yang perlu diberi perhatian dalam pengajaran membaca. Kita percaya bahawa sistem pendidikan di sekolah rendah telah berjaya melengkapi pelajar dengan kemahiran mekanis membaca.
Oleh itu, di mana salahnya kita? Mungkin apabila pelajar meningkat ke sekolah menengah pengajaran membaca masih lagi tertumpu kepada kemahiran yang dipelajari di sekolah rendah. Apabila tiba pada satu tahap, sudah pasti kemahiran membaca yang lebih kompleks perlu diajar dan dipraktikkan kerana inilah caranya untuk membolehkan pelajar membaca dengan berkesan dan berjaya. Mereka tidak akan berasa takut untuk menghadapi buku-buku ilmiah yang lebih kompleks dan padat dengan maklumat.
RUMUSAN
Kalau guru tidak tahu dan tidak mahu membaca maka lebih ramai pelajar yang tidak mahu dan tidak tahu membaca. Pelajar tidak mahu membaca kerana membaca buku teks itu selalu dianggap susah. Mereka tidak mahu membaca kerana mereka tidak kenal buku, dan mereka juga tidak mahu membaca kerana penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris mereka lemah Pelajar lebih mementingkan bacaan nota yang guru sediakan atau nota komersial. Kepada mereka, ini boleh menjamin kelulusan peperiksaan yang cemerlang dan inilah yang sangat digalakkan oleh guru, ibu dan bapa.
Pelajar di Malaysia rata-rata tidak diberi tunjuk ajar tentang kemahiran membaca pada tahap yang tinggi dan lebih kompleks dan berkesan untuk membaca buku-buku teks dan buku ilmiah iaitu menggunakan petunjuk, tanda-tanda, ciri-ciri dan sifat-sifat yang disediakan di dalam buku. Buku ulang kaji dan nota guru tidak mempunyai sifat-sifat dan bahagian seperti yang terdapat dalam buku teks dan buku ilmiah. Membaca buku ulang kaji dan nota guru tidak boleh digolongkan sebagai latihan kemahiran membaca buku kerana ia bukanya buku dalam erti kata sebenar. Buku teks dan buku ilmiah yang sempurna banyak memberi petujuk kepada pembaca untuk membaca secara kritikal.
Kita harus percaya sehingga hari ini ramai guru mempunyai pengetahuan yang samar-samar tentang membaca kerana sebilangan besarnya tidak pernah mengikuti kursus tentang ilmu membaca dan pengajaran membaca. Program pendidikan guru di peringkat diploma, sarjana muda tidak mewajibkan guru mengambil kursus-kursus dalam bidang ini. Yang dikesalkan di IPTA dan di maktab-maktab perguruan tidak ditawarkan bidang Pengkhususan Ilmu Membaca dan Pengajaran Membaca. Pelajar-pelajar program Diploma Pendidikan di maktab perguruan menerima pengetahuan asas tentang membaca melalui kursus bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Yang lebih serius ialah guru-guru yang pengkhususan mereka mata pelajaran sains, teknikal, perdagangan dan kejuruteraan tidak menerima sebarang pendedehan tentang ilmu membaca dan pengajaran membaca. Inilah situasi yang ada pada hari ini tentang Ilmu Membaca.
No comments:
Post a Comment