Monday, 4 July 2011

Memartabatkan Bahasa Melayu melalui sistem pendidikan

Kata orang jika kita hendak melihat apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan, lihatlah generasi muda kita sekarang. Hal ini bermakna sistem pendidikan merupakan landasan terbaik untuk membentuk generasi kita bagi merealisasikan aspirasi negara. Dalam hal ini, sekolah dan institusi pendidikan diumpamakan seperti tapak tempat menyemai benih generasi masa depan. Manakala kurikulum sekolah pula merupakan inti pati yang akan disuntik ke dalam minda serta jiwa mereka. Oleh itu, jika hendak menyemai apa-apa juga aspirasi negara dan membentuk generasi masa depan mengikut acuan kita sendiri, di sinilah tempatnya, begitu juga dala usahaa kita hendak memartabatkan bahasa Melayu.

            Dalam hal ini, jika kita meninjau saranan Profesor Dr Awang Sariyan dalam Majlis Bicarawara Bahasa di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka yang lalu ada benarnya. Menurut beliau, pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan perlu dimantapkan semula iaitu bermula daripada prasekolah hinggalah ke pengajian tinggi. Menurut beliau lagi, penegasan perlu diberi kepada usaha pembudayaan bahasa sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Melayu dalam dua aspek iaitu:

i) Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 serta Akta Pendidikan 1996 dan

ii) Pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan kokurikulum sehingga ragam bahasa tidak rasmi seperti bahasa sembang intenet dan bahasa khidmat pesanan ringkas (sms) tidak sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.

Mungkin pada dasarnya saranan beliau tersebut bukanlah satu idea yang baru dan mungkin telah direncanakan dalam sistem pendidikan kita. namun dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan masih belum mencapai matlamatnya, meskipun telah lima puluh tahun lebih kita merdeka.  Oleh itu, adalah wajar untuk pihak-pihak tertentu melihat semula kandungan yang ada dalam sistem pendidikan kita dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dan bandingan saranan beliau dengan usaha tersebut. Jika belum ada, adakan. Jika sudah ada, mantapkan dan tingkatkan pelaksanaan serta penguatkuasaan.
Ayuh, bangunlah kita perlu bangun dan sedar, jika bukan kita siapa lagi yang kita akan harapkan untuk mengalas tanggungjawab ini. Sekadar membicarakan dasar dan menggubal akta sahaja masih belum mencukupi, gerakkan dan kuatkuasakan pelaksanaannya. Tepuk dada, tanyalah selera dan fikir-fikirkanlah peranan yang perlu kita mainkan untuk mencapai matlamat ini. 

Sumber maklumat : Berita Harian

No comments:

Post a Comment