Chakrabarty (1979) menjelaskan bahawa literasi komputer membawa maksud mempelajari cara menggunakan sesuatu perisian mikro komputer dan peranti-perantinya yang dapat menghasilkan sesuatu melalui penggunaan komputer. Manakala Dologite(1987) pula menyatakan literasi membawa maksud yang agak mudah, iaitu tahap pengetahuan dan kebolehan seseorang itu menggunakan komputer.
Pendapat beliau ini hampir sama dengan pendapat Hunter (1987), dalam kajiannya yang menyatakan literasi komputer sebagai kemahiran seseorang individu menggunakan komputer sebagai sebuah alat yang disesuaikan kepada situasi hidup harian yang membolehkannya berfungsi dalam masyarakat yang berasaskan maklumat. Ngan (1994) menyatakan bahawa literasi komputer membawa maksud yang lebih luas bukan sahaja konsep dalam kesedaran tetapi juga pengalaman dan pengendalian komputer. Manakala kesedaran komputer pula merujuk kepada pengetahuan mengenai cara komputer digunakan dalam masyarakat, kesan kegunaannya terhadap sosial dan ekonomi serta kesannya terhadap kehidupan manusia. Kesedaran komputer berkait rapat dengan pembelajaran tentang komputer, manakala literasi komputer pula berkait rapat dengan pembelajaran dan penggunaan komputer. Besag dan Levine (1984) berpendapat, tahap asas literasi komputer adalah kebolehan membaca serta menulis dengan menggunakan bahasa sendiri dan dalam definisi yang lebih luas, bukan sahaja setakat boleh membaca tetapi juga boleh menggunakan pengetahuan yang diperoleh daripada komputer dalam kehidupan seharian.
Mc Keown (1986) menyatakan jika seseorang itu celik komputer, dia bukan hanya mempelajari tentang komputer tetapi juga tahu menggunakannya sebagai alat yang memudahkan kerja-kerja lain. Menurut beliau lagi, literasi juga bermaksud mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh komputer serta kebolehan seseorang itu mengarah komputer berbuat sesuatu yang dikehendaki.
Perubahan ICT akan memberikan cabaran besar terhadap profesion keguruan. Guru perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka bagi menjadikan komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran menggantikan pendekatan konvensional yang kurang berasaskan inovasi teknologi. Untuk menerajui pendidikan pada masa hadapan, setiap guru perlu memahirkan diri dengan ICT. Strategi meningkatkan penggunaan ICT di sekolah bergantung kepada kemampuan pengetua dan guru-guru menguruskannya. Oleh itu, setiap guru mesti menguasai kemahiran ICT. Ketrampilan dalam ICT adalah satu kriteria penting dalam sistem pendidikan abad ke - 21. Pencarian maklumat melalui internet merupakan aset yang akan dapat menjayakan pendidikan pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment