Islam meletakkan ilmu sebagai asas dalam pembangunan diri manusia dan alam seluruhnya. Tuntutan pertama dan utama terhadap manusia ialah saranan menuntut ilmu, kerana ilmu merupakan asas pemikiran dan pembuka minda. Ini telah diperkukuh dengan turunnya wahyu pertama yang diterima olah Rasul Allah S.A.W. dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5:
Maksudnya : “(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.
Intisari ayat ini merupakan asas penting untuk mengubah keadaan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya keilmuan. Mengikut ahli mufassirin, mereka mengatakan surah al-‘Alaq ini mengandungi 3 perkara besar iaitu :
Pertama - mengenal "Allah Rabbul’alamin" yang Maha Esa dan Maha kuasa yang mencipta dan menghidupkan manusia.
Kedua - ilmu tentang "manusia dan kemanusiaan" yang telah diciptakan oleh Allah S.W.T. dalam sebaik-baik keadaan dan diberikan berbagai-bagai keistimewaan berbanding makhluk-makhluk yang lain.
Ketiga - "nikmat ilmu pengetahuan" yang telah diajarkan oleh Allah S.W.T. kepada manusia melalui pena dan tulisan.
Imam al-Qurtubi turut mengutarakan bahawa permulaan wahyu yang pertama ini adalah perintah Allah yang ditujukan kepada nabi Muhammad S.A.W. dan umat manusia seluruhnya bahawa membaca, menulis dan mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan yang wajib dilaksanakannya. Mencari ilmu merupakan dasar utama yang diperjuangkan oleh Islam bagi membangunkan diri insan. Islam yang dalamnya tersingkap keindahan ajarannya menggesa umatnya mencari dan mendapatkan ilmu sama ada secara formal dan tidak formal yang menuntut bahawa membaca adalah salah satu cara antara mencari dan mendapatkan ilmu. Membaca merupakan suatu proses untuk memperolehi ilmu dan maklumat dengan menggunakan deria dan minda sama ada melalui bahan-bahan bercetak atau media elektronik seperti komputer dan sebagainya. Deria dan minda yang dicerna dengan ilmu pengetahuan hasil pembacaan akan menjana kehidupan manusia yang sentiasa inginkan perubahan. Sedikit ilmu yang diperolehi akan merangsang minat dan naluri dalam diri untuk menambah ilmu pengetahuan yang lain seterusnya akan terbentuk satu budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
No comments:
Post a Comment