Pembangunan Pusat Sumber Sekolah haruslah seiring dengan era gloalisasi dengan konsep yang lebih meluas iaitu kreatif dan inovatif. PSS harus berupaya memainkan peranan untuk membudayakan ICT di sekolah dan sekaligus menjadi wadah memperkasa profesion perguruan.
Melalui PSS, prasarana untuk guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dijana. Sebagai contoh penggunaan web sebagai sumber pengajaran dan pembelajaran merupakan inovasi berterusan yang boleh membantu para guru. Ini bermakna para guru harus memperkasa diri dengan kemahiran dalam pedagogi yang melibatkan penggunaan ICT. Guru harus berupaya menjadi mentor kepada murid untuk memastikan pembelajaran ICT dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui proses pengintegrasian dengan pengajaran dan pembelajaran.
Seterusnya, pengintegrasian ini membuka ruang kepada pelajar untuk mengakses maklumat dan bahan pengajaran melalui web serta terlibat dalam aktiviti pembelajaran yang merangkumi sesi perbincangan maya, penstrukturan pengetahuan serta membentuk suasana pembelajaran kendiri pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Bermedium web juga akan menghasilkan individu berfikiran kritis dan kreatif serta mempertingkatkan tahap pembelajaran dalam kalangan pelajar (Chang 2001).
Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) program pendidikan di negara ini, khususnya bagi peringkat sekolah digubal berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menggambarkan bahawa pembangunan insan itu perlulah seimbang dan menyeluruh perkembangannya dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dalam usaha untuk membina insan seperti yang dihasratkan, ilmu yang disampaikan perlu juga sesuai dengan perkembangan semasa dan keperluan negara sebagaimana yang ditawarkan melalui pengajaran dan pembelajaran ICT
Sumber Rujukan..Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1) (2009) : 111 - 129
No comments:
Post a Comment