Showing posts with label GPM. Show all posts
Showing posts with label GPM. Show all posts

Tuesday, 20 September 2011

PETIKAN UCAPAN PPD DALAM BLOG PSS 1 DAERAH KLUANG 2011


Karismatik Kecemerlangan ICT.
Pegawai Pelajaran,
Pejabat Pelajaran Daerah Kluang.
    
السلام عليكم ورحمة الله وبركته    dan Salam Sejahtera.

Segala puji-pujian bagi Allah serta selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w bersempena Pelancaran Blog Pusat Sumber Sekolah 1 Daerah Kluang. Justeru, kesyukuran kita panjatkan kepada Allah s.w.t kerana masih berkesempatan untuk responsif terhadap kesinambungan arus perdana pendidikan negara hari ini dan yang mendatang. Sekalung tahniah diucapkan kepada semua pihak khususnya Guru Perpustakaan dan Media Daerah Kluang atas usaha gigih yang ditampilkan. Pastinya pujian wajar diberikan atas inisiatif ini.

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi  adalah seiring dengan perubahan zaman yang telah menjadikan dunia semakin mengecil. Justeru, warga pendidik yang tidak berupaya akses terhadap perkembangan ini pasti merasai kecanggungannya. Kepesatan perkembangan ICT juga telah mendatangkan pelbagai cabaran yang menuntut kebijaksanaan kita untuk menyesuaikannya dengan iklim pengajaran dan pembelajaran yang interaktif sifatnya. Oleh itu, kesediaan para guru untuk mendidik masyarakat supaya celik ICT dan cakna terhadap kemajuan pesat ICT serta implikasi yang terbangkit daripadanya perlu menjadi pioriti.

Saya mengharapkan Blog PSS 1 Daerah Kluang ini akan berupaya memberi sumbangan dan bertindak sebagai platform dalam usaha kita untuk melonjakkan kemajuan dan kemakmuran negara ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai warga pendidikan, kita mestilah sentiasa berusaha bukan sahaja untuk meningkatkan akses kepada pendidikan tetapi turut memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dengan hasrat untuk menghasilkan kejayaan secara kolektif.  Ini adalah amanah besar yang  perlu kita lunasi.

Harapan saya juga agar semua  Guru Perpustakaan & Media akan bersifat aktif, inovatif, kreatif dan berketerampilan demi kelangsungan Blog PSS 1 Daerah Kluang ini pada masa akan datang. Pemupukan dan penyebaran ilmu harus terus diperkembang dan diperkukuh melalui pengisian ruang dan peluang yang disajikan oleh gerbang siber ini.
Perkongsian maklumat, idea, saranan dan dapatan kajian serta perkongsian pengalaman akan menjadikan kita lebih berilmu dan memartabatkan profesion keguruan yang kita miliki.

Atas kesempatan ini, saya merakamkan  tahniah dan terima kasih kepada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor dan Pusat Kegiatan Guru Daerah Kluang serta semua pihak yang memberi sumbangan ke arah merealisasikan  Blog PSS 1 Daerah Kluang ini.

Sekian.

“ ICT SINERGI MASYARAKAT BERMAKLUMAT ”

( Tn. Hj. A. Manaf bin Muslimin )
   Pegawai Pelajaran Daerah Kluang.

Monday, 19 September 2011

KURSUS MEMBINA BLOG PSS 1 DAERAH KLUANG 2011 BERTEMPAT DI BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN NEGERI JOHOR.


1.0   RASIONAL
Kepekaan semua pihak dalam menunjangi tuntutan ke arah transformasi pendidikan memerlukan kaedah positif untuk meningkatkan ilmu pengetahuan  dan kepakaran guru-guru. Atas alasan yang sama, Guru Perpustakaan dan Media perlu didedahkan dengan pengetahuan ICT dan kursus membina blog untuk menggarap usaha ke arah menjadikan Pusat Sumber Sekolah lebih berkualiti melalui penyebarluasan maklumat dan menjadi medium interaktif agar berupaya memenuhi tuntutan semasa arus pendidikan negara.

2.0   MATLAMAT             
Membina rangkaian blog Pusat Sumber Sekolah Daerah Kluang.

3.0  OBJEKTIF
             3.1    Membimbing GPM untuk membina blog Pusat Sumber Sekolah masing-masing.
             3.2    Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT dalam kalangan GPM.
             3.3    Memberi pengalaman kepada para GPM untuk menerokai dan  berkongsi pengalaman demi meningkatkan keberkesanan Pusat Sumber Sekolah.
             3.4    GPM dapat menggunakan blog untuk mempromosi aktiviti PSS dan seterusnya meningkatkan kesedaran pelbagai pihak akan kepentingan serta peranan Pusat Sumber Sekolah.
             3.5    Memperluas peranan PSS sebagai sumber maklumat yang dapat memenuhi kehendak semasa arus pendidikan negara.
             3.6    Memberi nilaitambah terhadap rangkaian Pusat Sumber Sekolah Daerah Kluang sebagai sumber informasi yang komprehensif.
             3.7    Mendukung usaha Pejabat Pelajaran & PKG daerah Kluang meningkatkan akses internet dalam kalangan warga pendidikan.
 

4.0  TARIKH
4.1    Tarikh yang dirancang ialah 20 hingga 22 September, 2011 iaitu pada  hari Selasa, Rabu dan Khamis.

Penyelaras Kursus
Pn. Padilah bt Shahran.