Monday 26 September 2011

BACAAN PILIHAN:TRANSFORMASI MASYARAKAT UNTUK HARGAI ILMU

Membicarakan mengenai isu plagiarisme amatlah menarik untuk diketengahkan.Memang benar ,integriti dan keaslian merupakan satu kemestian dalam dunia akademik.Plagiarisme merupakan satu 'dosa besar' dalam dunia pendidikan terutamanya peringkat menara gading.Apabila kita membicarakan isu plagiarisme,kita tidak bboleh lari membicarakan kualiti ilmu yang diperolehi.Isu ini perlu dilihat dengan skop yang lebih besar kerana plagiarisme bukan hanya berlaku di Malaysia,tetapi turut terjadi di mana-mana sahaja.
             Kes-kes terpencil di Malaysia sepatutnya dijadikan teladan dan bukannya menyalahkan mana-mana pihak. Apa yang penting ialah mencari jawapan untuk memastikan ia tidak berulang.Integriti akademik bukanlah setakat membicarakan tentang plagiarisme.Lihatlah dari sudut yang lebih holistik iaitu bagaimanakah untuk membudayakan penghargaan terhadap ilmu pengetahuan dalam masyarakat kita.Inilah penyelesaian jangka panjang untuk membendung sebarang salah laku yang membawa kepada plagiarisme.Kalau direnung kembali,hal-hal yang membawa kepada plagiarisme dipandang mudah seperti membuat salinan (fotostat) mana-mana buku dan makalah merupakan satu lagi 'dosa' dalam dunia akademik kerana melanggar hak cipta penerbit dan penulis tetapi amat jarang sekali ia dibicarakan.Sedangkan di negara-negara maju,tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang membuat salinan ke atas sebarang buku dan makalah.
           Di Malaysia, perkara ini sudah menjadi kebiasaan kerana membuat salinan lebih murah daripada membeli buku atau makalah.Jadi,patutkah kita hanya sekadar membicarakan tentang plagiarisme sahaja di peringkat universiti sedangkan sejak kecil lagi kita dididik untuk tidak menghargai ilmu dengan membuat salinan ke atas buku yang ditulis oleh penulis-penulis berdedikasi?Budaya menghargai ilmu juga tidak hanya sekadar mementingkan kejayaan mendapat seberapa banyak 'A' dalam peperiksaan.Tetapi inilah berlaku dalam masyarakat kita.Apabila seseorang pelajar memperolehi paling banyak 'A',dia diakui hebat dalam dunia akademik.Sementara yang paling sedikit mendapat 'A' dipinggirkan.Walhal,budaya ilmu bukan setakat berorientasikan peperiksaan semata-mata tetapi,memerlukan pencernaan dan penguasaan ilmu melalui idea-idea yang kritis dan boleh membantu masyarakat.Stigma mengakui kehebatan seseorang pelajar mengikut ukuran paling banyak 'A' perlu diubah dalam masyarakat kita.Stigma inilah menyebabkan apabila berada di menara gading,pelajar terbawa-bawa pendekatan berorientasikan peperiksaan.Apabila ini terjadi,pencernaan ilmu pengetahuan melalui perbincangan amat susah dicapai oleh pelajar yang hanya bersandarkan pada pengukuran kejayaan akademik berorientasikan peperiksaan semata-mata.Mereka hanya mengharapkan segala ilmu disuap sebagaimana yang dilakukan ketika peringkat sekolah lagi.Akhirnya,apabila tertekan dengan desakan masyarakat dan ibu bapa yang inginkan kejayaan paling banyak 'A' sahaja,sindrom potong dan tampal akan berlaku.Begitu juga bagaimana untuk melahirkan seseorang yang benar-benar berkeupayaan untuk memberi pandangan berbeza tetapi bernas berbanding orang lain ialah banyak bergantung pada tahap pembacaannya.
               Kita semua sedia maklum, kadar pembacaan rakyat Malaysia amatlah rendah dan statistik menggambarkan rakyat kita hanya sekadar membaca dua buah buku setiap tahun.Bagaimanakah ingin melahirkan idea-idea yang dikatakan 'asli' jika tahap pembacaan rakyat amat rendah?Ini tidak termasuk,pembacaan daripada jurnal-jurnal berwasit yang dikategorikan sebagai bahan bacaan berat sedangkan penemuan-penemuan daripada kajian-kajian penyelidik dan pensyarah dalam jurnal-jurnal ini mempunyai ilmunya tersendiri yang amat berguna untuk masyarakat.Namun,pilihan yang diambil ialah membaca bacaan ringan yang mempesonakan tetapi kurang membantu dalam perdebatan isu-isu semasa bagi menyelesaikan masalah masyarakat.Seringkali universiti merupakan gedung ilmu yang patut dirasai dan dihargai serta terbuka luas untuk keseluruhan masyarakat.Sebagai gedung ilmu,universiti bukanlah sekadar sebagai kilang untuk memenuhi industri semata-mata tetapi bertanggungjawab untuk kelangsungan kehidupan manusia yang sememangnya amat memerlukan ilmu sebagai panduan hidup.Oleh itu, peranan untuk membudayakan dan menghargai ilmu memerlukan transformasi masyarakat secara menyeluruh dan dipupuk sejak bermulanya setiap insan mengenali huruf dan angka lagi.

SUMBER: UTUSAN MELAYU

Saturday 24 September 2011

Ke arah Budaya Membaca


PEMBACA HARI INI
Sikap dan kesedaran keperluan membaca dalam kalangan ramai pelajar kita pada semua peringkat pengajian adalah terlalu rendah, mudah dan cetek. Pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi, sungguhpun mereka telah berada di menara gading, hanya yang asas sahaja. Kebolehan membaca rata-rata terhad kepada bahan bukan ilmiah dan berbentuk naratif. Penguasaan dan kelancaran bahasa mereka tidak mendalam kerana ramai yang masih lagi tidak berupaya untuk berfungsi dalam bahasa akademik, bahasa sains dan bahasa teknologi. Kelemahan ini bertambah apabila pembaca mempunyai pengetahuan am yang terlalu sempit dan ini menyebabkan mereka tidak berupaya untuk berinteraksi dengan penulis. Semua ini disebabkan pelajar terlalu bergantung pada nota-nota guru dan buku ulangkaji dan mereka enggan membaca buku-buku ilmiah yang boleh didapati dalam jumlah yang besar di perpustakaan di seluruh negara.


           Tanggungjawab guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran sememangnya berat kerana guru bukan sahaja bertanggungjawab memberi pengalaman kepada pelajar dalam bidang mata pelajaran yang diajar tetapi ia juga bertujuan membentuk pelajar menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Kalau itu tidak mencukupi banyak lagi tugas dan tanggungjawab guru yang ditanggungnya di luar proses pengajaran. Tugas guru bukannya mudah kerana ada banyak perkara lain yang dianggap seseorang guru harus boleh lakukan sungguhpun guru itu tidak mendapat latihan khusus dalam bidang itu.

Tanggungjawab dalam bidang pengajaran dan pembelajaran membaca bukannya terhad pada seseorang guru sahaja. Untuk setiap mata pelajaran disediakan buku teks. Ini bererti setiap guru mata pelajaran juga harus menjadi seorang guru bacaan. Kalau ditanya kepada guru, ramai akan mengatakan bahawa buku teks digunakan sebagai rujukan atau untuk memberi latihan kepada pelajar. Persoalannya ialah bilakah pelajar betul-betul berpeluang untuk diberi kemahiran membaca dalam erti kata membaca dengan penuh perhatian. Begitulah juga keadaannya di dalam kelas bahasa, membaca tidak begitu penting, yang penting ialah menjawab soalan kefahaman. 

Lalu kita akan bertanya - tanggungjawab siapakah untuk mengajar membaca. Latihan yang diterima oleh guru dalam bidang membaca terlalu minima dan ada guru yang tidak pernah menerima sebarang pendedahan tentang pengajaran membaca dan ilmu membaca terutamanya guru mata pelajaran. Kefahaman tentang ilmu membaca terlalu penting untuk diabaikan dalam proses pendidikan guru. Sekurang-kurangnya apabila seorang guru itu tamat pengajiannya dia telah pun menerima pendedahan dalam bidang ilmu membaca dan pengajaran membaca. Dengan ilmu yang ada mereka berupaya memberi penjelasan dan penerangan yang betul kepada soalan-soalan seperti ini:

 a. Apakah definisi membaca?
 b. Apakah faktor yang mempengaruhi membaca?
 c. Bagaimana proses membaca itu berlaku?
d. Apakah erti kefahaman dalam pembacaan dan perbezaannya dengan proses        membaca?
e. Apakah kemahiran dan strategi yang perlu diajar bagi pelajar yang mempunyai latar belakang, kebolehan, pengetahuan, dan matlamat membaca yang berbeza?


         Di mana dan bila harus dimulakan pengajaran membaca? Perlukah pengajaran membaca itu diasingkan daripada pengajaran bahasa? Bagaimanakah dapat dibezakan pengajaran membaca dengan pembacaan bahan ilmiah? Ini adalah antara persoalan yang perlu diberi perhatian dalam pengajaran membaca. Kita percaya bahawa sistem pendidikan di sekolah rendah telah berjaya melengkapi pelajar dengan kemahiran mekanis membaca. 
Oleh itu, di mana salahnya kita? Mungkin apabila pelajar meningkat ke sekolah menengah pengajaran membaca masih lagi tertumpu kepada kemahiran yang dipelajari di sekolah rendah. Apabila tiba pada satu tahap, sudah pasti kemahiran membaca yang lebih kompleks perlu diajar dan dipraktikkan kerana inilah caranya untuk membolehkan pelajar membaca dengan berkesan dan berjaya. Mereka tidak akan berasa takut untuk menghadapi buku-buku ilmiah yang lebih kompleks dan padat dengan maklumat.


RUMUSAN
Kalau guru tidak tahu dan tidak mahu membaca maka lebih ramai pelajar yang tidak mahu dan tidak tahu membaca. Pelajar tidak mahu membaca kerana membaca buku teks itu selalu dianggap susah. Mereka tidak mahu membaca kerana mereka tidak kenal buku, dan mereka juga tidak mahu membaca kerana penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris mereka lemah Pelajar lebih mementingkan bacaan nota yang guru sediakan atau nota komersial. Kepada mereka, ini boleh menjamin kelulusan peperiksaan yang cemerlang dan inilah yang sangat digalakkan oleh guru, ibu dan bapa.

Pelajar di Malaysia rata-rata tidak diberi tunjuk ajar tentang kemahiran membaca pada tahap yang tinggi dan lebih kompleks dan berkesan untuk membaca buku-buku teks dan buku ilmiah iaitu menggunakan petunjuk, tanda-tanda, ciri-ciri dan sifat-sifat yang disediakan di dalam buku. Buku ulang kaji dan nota guru tidak mempunyai sifat-sifat dan bahagian seperti yang terdapat dalam buku teks dan buku ilmiah. Membaca buku ulang kaji dan nota guru tidak boleh digolongkan sebagai latihan kemahiran membaca buku kerana ia bukanya buku dalam erti kata sebenar. Buku teks dan buku ilmiah yang sempurna banyak memberi petujuk kepada pembaca untuk membaca secara kritikal.

Kita harus percaya sehingga hari ini ramai guru mempunyai pengetahuan yang samar-samar tentang membaca kerana sebilangan besarnya tidak pernah mengikuti kursus tentang ilmu membaca dan pengajaran membaca. Program pendidikan guru di peringkat diploma, sarjana muda tidak mewajibkan guru mengambil kursus-kursus dalam bidang ini. Yang dikesalkan di IPTA dan di maktab-maktab perguruan tidak ditawarkan bidang Pengkhususan Ilmu Membaca dan Pengajaran Membaca. Pelajar-pelajar program Diploma Pendidikan di maktab perguruan menerima pengetahuan asas tentang membaca melalui kursus bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Yang lebih serius ialah guru-guru yang pengkhususan mereka mata pelajaran sains, teknikal, perdagangan dan kejuruteraan tidak menerima sebarang pendedehan tentang ilmu membaca dan pengajaran membaca. Inilah situasi yang ada pada hari ini tentang Ilmu Membaca. 

Sumber : http://fasisbh1.zoom-a.com/isumasalahmembaca.html

MEMBANTU PELAJAR MENGGUNAKAN STRATEGI MEMAHAMI TEKS



Sesuatu proses kefahaman teks bacaan yang berkesan berfokus pada cara-cara dan penaakulan yang digunakan untuk mengeluarkan maklumat, dan bukannya pandangan pembaca terhadap isi kandungan teks. Tujuan perlakuan kefahaman ialah untuk membolehkan pembaca sedar tentang cara membaca dan penaakulan yang digunakan itu di bawah kawalannya sendiri. Kita mahu pelajar tahu bagaimana untuk menggunakan pengetahuan latar dan membuat telahan dan inferens semasa mereka membaca. Kita juga mahu pembaca boleh dan tahu memantau pembacaan mereka dan menggunakan strategi yang dapat memecah halangan terhadap pembinaan makna semasa mereka membaca. Kita juga mahu pembaca menyusun dan menilai hasil daripada apa yang telah mereka baca.

Peranan guru dalam pengajaran strategi ialah untuk mewujudkan satu suasana pengajaran yang menegaskan bahawa dalam pembacaan teks yang bersambungan penggunaan strategi membaca yang tepat adalah langkah yang penting. Guru dapat mengukuhkan proses kefahaman membaca seseorang pelajar itu dengan menunjukkan kepada mereka bagaimana strategi yang sama juga digunakan oleh penulis semasa mereka menulis teks. Pengajaran dalam proses kefahaman membaca bermula dengan kefahaman mendengar pada peringkat permulaan literasi dan meningkat sedikit demi sedikit kepada proses yang lebih kompleks dan jenis bahan bacaan yang lebih tinggi.

Dipetik daripada : http://fasisbh1.zoom-a.com/isumasalahmembaca.html

Memecah Tradisi Pengajaran Membaca



Setiap kali proses pengajaran membaca berlaku di dalam bilik darjah sama ada di sekolah rendah, menengah atau di intitusi pengajian tinggi ia perlu dipandang sebagai satu pengajaran ilmu yang baru yang dapat diterima oleh pelajar. Kita berusaha mengajar dengan gigih supaya pelajar dapat menerima apa yang diajar itu dengan penuh kesedaran, dengan sikap yang positif, dan dapat menggunakan hasil pengalaman pembacaan itu untuk tujuan yang sebenar. Malangnya ramai guru hari ini menitikberatkan elemen-elemen proses membaca yang tidak jelas dan tidak bermakna kepada pelajar. Ada guru yang memburukkan lagi proses pengajaran membaca dengan mendekatinya pula mekanikal. Ini kerap berlaku kerana ada banyak kekangan keadaan dan halangan yang berlaku proses mengajar membaca. Ilmu membaca perlu dititikberatkan bukannya proses membaca.Kekangan dan halangan yang wujud itu kerap kali tidak mendapat perhatian guru kerana ramai yang tidak tahu yang ianya wujud. Proses pengajaran membaca di dalam bilik darjah adalah refleksi kepada amalan bagaimana buku harus dibaca di sekolah semasa guru mempelarainya di sekolah dahulu. 

Amalan pengajaran ini telah menyebabkan guru bertindak dengan mengajar secara teknikal tanpa berani membuat keputusan bagaimana hendak mengubahsuaikannya Untuk mengelakkan guru daripada menjadi sebagai seorang juruteknik membaca, mereka harus boleh dan tahu mempelbagaikan kaedah pengajaran dengan membuat keputusan sendiri berpandukan kepada apa yang ada di hadapan mereka (pelajar, bahan, tujuan, kaedah dan diri mereka sendiri). Keupayaan berbuat demikian adalah satu langkah ke arah menjadi seorang guru membaca yang profesional. Guru membaca yang sebenar ialah mereka yang mendapat pendidikan dalam ilmu membaca dan ilmu pengajaran membaca (yang dimaksudkan di sini ialah semua guru dan tidak terhad kepada guru yang mengajar subjek bahasa sahaja).

Sebagai satu contoh ilmu membaca yang dimaksudkan ialah apabila kita membaca kita perlu tahu bahawa tujuan penulis menulis teks ialah untuk berkongsi maklumat dengan pembacanya dan pembaca pula akan membentuk semula isi teks supaya mereka dapat menerima dan memahami maklumatnya. Pada asasnya untuk mendapatkan maklumat daripada teks pembaca harus boleh mengcam, menggunakan dan mencantumkan petanda dan petunjuk yang disediakan oleh penulis dengan maklumat daripada pengalaman lalu tentang tajuk yang dibacanya, dan dengan pengetahuan tentang proses membaca. Pembaca juga harus boleh membuat inferens kepada makna yang dibuat oleh penulis.

Antara faktor utama yang boleh memungkinkan proses pembacaan itu menjadi satu aktiviti yang berjaya ialah pembaca harus mempunyai sikap yang positif. Kedua, pembacaan yang dilakukan itu perlulah berasaskan kepada kefahaman tentang konsep pemerosesan mental. Pemprosesan konsep ini boleh dilakukan oleh seorang pembaca yang cekap ketika  berusaha membentuk makna dan jika dilakukan dengan mahir serta boleh memahami keseluruhan teks yang dibacanya itu dengan berkesan (proses metakognisyen). Ketiga, guru perlu mempunyai pengetahuan dan kebolehan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran membaca yang sebenarnya.

Apabila kita mengajar membaca sebenarnya kita mengajar bagaimana pelajar dapat membentuk sikap terhadap isi kandungan yang ditulis oleh penulis. Guru harus dapat menumpukan perhatian pembaca kepada bagaimana penulis meluahkan pengalaman, pengetahuan dan pendapatnya ke dalam bukunya. Penulis mempunyai perhubungan yang rapat dengan pembaca kerana kedua-dua mempunyai pandangan dan sikapyang sama pengalaman, pemprosesan maklumat, pembinaan isi kandungan, tujuan membaca kemahiran menulis dan membaca. Kesemua ini saling terikat dalam usaha membina pengalaman dan kemahiran yang berkesan dan berjaya dalam pembacaan. 

Pelajar perlu diberi motivasi melalui pengajaran yang terancang dan tersusun. Guru memotivasikan pelajar dengan memberikan tugasan yang berjaya dilaksanakan oleh pelajar secara mengintegrasikan apa yang hendak dipelajarinya itu dengan aktiviti yang sebenar. Kelemahan yang berlaku ialah semasa di sekolah rendah guru merancang pengajaran membaca berpandukan kepada pembacaan satu teks asas sepanjang tahun melalui kelas bahasa. Di situlah fokus pembelajaran membaca tanpa pelajar berpeluang meluaskan kemahiran kepada bentuk bahan bacaan yang bebeza.

Pelajar tidak akan dapat menguasai kemahiran membaca jika mereka mempunyai sikap negatif terhadap peroses pembelajaran dan bahan yang dibacanya itu. Sikap positif terhadap membaca banyak bergantung pada pelajar mempunyai kesedaran metakognitif tentang konsep seperti: a) "Apakah itu membaca?", dan b) tentang penyertaan mereka dalam aktiviti membaca. Untuk menimbulkan semua ini teknik utama ialah mewujudkan satu suasana keliling yang literat yang membolehkan pelajar membina konsep yang tepat dan perasaan yang selesa dalam aktiviti membaca dan menulis yang bermakna. Menyeru dan menyuruh pelajar membina sikap postif secara lisan akan menghasilkan kesan yang minima, yang pentingnya ialah penyertaan dalam aktiviti membaca yang sebenar dengan panduan dan tunjuk ajar yang berkesan.

Semua pelajar akan melalui proses peningkatan darjah, oleh itu fokus pengajaran juga harus turut berubah daripada satu konsep yang mudah kepada yang lebih sukar iaitu dari keseronokan membaca cerita beralih kepada konsep tentang fungsi membaca dan pelbagai reaksi yang mereka ketemui dalam sesuatu bahan bacaan. Matlamat membaca ialah untuk membolehkan palajar memahami mesej di dalam teks. Keupayaan untuk memahami kandungan di dalam teks bergantung pada pengalaman latar yang ada pada pelajar tentang tajuk yang dibaca, jenis bahan bacaan dan apa tujuan dia membacanya. Pada umumnya apabila kita mengajar membaca tumpuan kita ialah pelajar. Tujuan guru biasanya untuk membolehkan pembaca mengeluarkan isi kandungan teks yang dibacanya tetapi pengajaran begini tidak menjamin pelajar tahu bagaimana maklumat dapat diproses dalam situasi bacaan yang berbeza. Ini berlaku kerana guru kurang peka dan tidak memberi tumpuan kepada kemahiran-kemahiran kognitif bagaimana maklumat dapat diterbitkan dari teks. 
Semua Pusat Sumber Sekolah perlu menyediakan KLINIK MEMBACA. Cara pembacaan di ajar ia itu cara membaca yang berkesan dengan mengetahui kepentingan bahagian-bahagian buku.

Dipetik daripada : http://fasisbh1.zoom-a.com/isumasalahmembaca.html

Wednesday 21 September 2011

Dunia Maya


Dunia Maya adalah satu sistem yang mensimulasikan alam nyata (realiti). Alam nyata ditayangkan dalam bentuk imej, dalam dunia yang kelihatan seperti dunia nyata. Pengalaman dalam dunia maya bukan hanya menerusi skrin imej tetapi ia sendiri menjadi pengalaman kepada mereka yang berada di dalamnya(Castells, 1999). Kewujudan dunia maya akan membawa perubahan tertentu dalam cara hidup di bandar. Memandangkan ia begitu benar dan kadangkala dapat memuatkan ciri-ciri idealisme yang tidak terdapat dalam dunia nyata.