Bismillahirrahmaniirahim.
Tahukah anda pada ibu jari anda ada tanda Kekuasaan Allah? Ini antara satu tajuk yang penting bagi kita ketahui. Barangkali ramai dah tahu sebenarnya.
Pada ibu jari kita terdapat salah satu tanda keajaiban yang paling dekat dengan kita yang boleh dijadikan iktibar tentang kekuasaan Allah SWT. Itulah 'garisan urat jari' yang terdapat pada ibu jari kita.
Garisan ini menjadi tanda pengenalan yang tepat bagi seseorang. Garisan itu tidak sama antara seseorang dengan yang lain. Tidak sama bagi semua orang yang telah dilahirkan sejak dahulu hingga kini. Oleh sebab itu tandatangan melalui cap jari tidak boleh ditiru, ditipu atau dipalsukan bentuk rupanya oleh sesiapapun.
Pada ibu jari kita inilah Allah membuktikan bahawa DIA berkuasa membangkitkan semula manusia pada hari akhirat, termasuklah manusia yang telah lama mati dan telah hancur menjadi debu tanah. Ini bagi menjawab persoalan kaum yang ingkar akan adanya hari kiamat. Allah SWT telah menjawab persoalan mereka dengan firmannya yang bermaksud :
"Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? (3) Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tetapi Allah SWT mampu mengembalikan semula bentuk garisan yang ada pada ibu jari (si mati)". (4) (Surah al-Qiyaamah [75] : 3 - 4 )
Ini menggambarkan kepada kita bahawa pada ibu jari manusia terdapat sesuatu yang istimewa yang perlu diambil perhatian. Apakah rahsianya? Rahsianya ialah terbukti bahawa Allah Maha Berkuasa dan mampu melakukan kerja-kerja yang lebih rumit daripada menghidupkan yang telah mati.
Mengikut kajian, garisan yang ada pada jari tangan manusia yang dinamakan 'bananah'(hujung ayat ke empat surah al-Qiyaamah) mula terbentuk sejak minggu ke enam bayi dalam kandungan ibunya dan selesai pada pertengahan bulan ke lima. Pada saat itu keseluruhan garisan 'bananah' ini dapat dilihat dengan jelas dan akan kekal tidak berubah sehinggalah dia mati dan dihidupkan semula.
Sesungguhnya kejadian serta pembentukan 'bananah' itu sendiri ternyata amat sukar berbanding anggota lain. Tanda ini pula tidak sama, keadaanya pula amat unik dan ini telah menarik perhatian para pengkaji yang terdiri daripada para saintis.
Dikatakan bahawa pada tahun 1858 orang yang pertama mengkaji dan mengesan perkara ini ialah seorang doktor Inggeris bernama William Hirshal. Beliau dapat mengenal pasti bahawa kulit jari ini tertutup dengan garisan-garisan yang amat sukar untuk dijelaskan. Ada yang berbentuk melengkung atau setengah bulatan dan yang pasti garisan-garisan ini tidak sama antara seorang dengan yang lain.
Yang pasti ialah tanda 'bananah' ini sudah menjadi satu daripada cara untuk menangkap penjenayah.
Allah SWT telah mencabar manusia supaya melihat atau memerhatikan bagaimana DIA mampu melakukan kerja-kerja yang tidak boleh dibuat oleh manusia melalui firmannya:
"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (53) .....Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu". (54)-( surah Fussilat [ 41 ] : 53 - 54)
Ya, yang pasti sekarang ini, banyak perkara yang diberitakan dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun dahulu telah ditemui oleh para pengkaji.
Sumber :
http://permatainn.blogspot.com/2010/09/pada-ibu-jari-ada-tanda-kekuasaan-allah.html
No comments:
Post a Comment