Sunday, 28 August 2011

Amalan Sunat Ketika Merayakan Hari Raya Aidilfitri

Kita telah pun berada di penghujung ramadhan. Hanya beberapa hari lagi ramadhan akan melabuhkan tirai serta meninggalkan kita semua. Bagi mereka yang beriman pasti akan bersedih, malah ada yang menangis kerana terpaksa berpisah dengan ramadhan.
Setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan, kini tiba masanya bagi seluruh umat Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri iaitu hari kebesaran atau hari kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya yang beriman dan bertaqwa.
Hari Raya Aidilfitri ini hanya disambut setahun sekali dan sudah tentulah akan disambut dengan penuh meriah. Bagaimanapun, Islam melarang umatnya membazir dan berbelanja secara berlebih-lebihan ketika merayakannya.
Selain itu, umat Islam juga mestilah merayakan Hari Raya dengan penuh bermakna, dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan serta kemungkaran sewaktu merayakannya.
Terdapat beberapa amalan sunat yang dianjurkan oleh Islam ketika menyambut hari raya iaitu pada malam Hari Raya adalah disunatkan supaya membanyakkan amalan bertakbir.
Waktu takbir Aidilfitri bermula dari saat matahari terbenam di akhir bulan Ramadan (awal Syawal) iaitu jika keesokan harinya ialah 1 Syawal. Takbir Hari Raya disunatkan untuk bertakbir sepanjang malam hari raya di mana saja, tidak kira dari rumah atau masjid.
Kita digalakkan untuk menghidupkan malam dengan beribadat. Antara ibadat yang boleh dilakukan ialah banyakkan bertakbir, beristiqhfar dan memuji kebesaran Allah pada malam hari raya itu.
Selain itu, amalan yang disunatkan untuk menyambut hari raya ialah disuruh mandi, bersugi (menggosok gigi) dan memakai wangi-wangian. Kita juga disunatkan menjamah sedikit makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya.
Sembahyang sunat hari raya pula disyariatkan dalam tahun pertama hijrah. Dalam hal ini, Anas bin Malik pernah berkata: “Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu, penduduk Madinah sudah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka rayakan.” Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Tabaraka Wata’ala telah menggantikan yang dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya dan Aidiladha.” (Ahmad, Abu Daud, Naasa’ei dan al-Baihaqi)
Manakala ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sangat digalakkan dan patut menjadi amalan murni di kalangan umat Islam. Al-Alamah Ibnu Rajab telah menukilkan dalam kitabnya Al-Lata’if, katanya: “Orang yang arif telah saling menziarahi antara mereka.” Kerana amalan ziarah-menziarahi dapat merapatkan lagi hubungan silatulrahim antara ahli keluarga, sahabat, dan jiran tetangga.
Kesimpulannya, kita digalakkan memperbanyakkan amalan-amalan sunat sepertimana yang telah disebutkan di atas dan meninggalkan perkara-perkara mungkar yang ditegah oleh Islam seperti melakukan maksiat dan sebagainya ketika merayakan Hari Raya.

Sumber : http://ibnismail.wordpress.com

No comments:

Post a Comment